PETALING JAYA: Malaysia dan Indonesia berjaya mencapai kemajuan dalam beberapa isu lama berkaitan sempadan darat dan maritim yang dijangka akan dibawa ke tahap seterusnya untuk perbincangan lanjut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu antara hasil perbincangan pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala Malaysia-Indonesia (JCBC) Ke-17 bersama rakan sejawatannya, Sugiono di Jakarta, Indonesia hari ini.
Beliau berkata, Malaysia akan menganjurkan Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia bagi membincangkan isu tersebut
“Ada juga isu lama perbatasan darat dan maritim yang saya yakin dan saya lihat di peringkat terakhir untuk kami bawa kepada perbincangan dan persetujuan kedua-dua pemimpin semasa rundingan tahunan nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu.
Mohamad berkata, JCBC Ke-17 secara keseluruhan mencapai persetujuan yang berpotensi memperkukuh lagi hubungan sedia ada antara Malaysia dan Indonesia.
Katanya, hubungan kedua-dua negara ketika ini berada pada tahap amat baik, dengan hanya beberapa isu tertunggak yang masih memerlukan perhatian.
“Hubungan akrab dan baik antara kedua-dua negara, Malaysia dan Indonesia saya anggap dah 98 peratus baik. Dua peratus itu adalah isu-isu, simpul-simpul yang saya sebutkan perlu kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata, kebajikan dan akses pendidikan rakyat Indonesia yang tinggal dan bekerja di Malaysia turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.
“Bagi kami, hak pelajaran ialah hak manusia di bawah konvensyen antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, Indonesia turut mencadangkan supaya peluang pekerjaan untuk rakyatnya di Malaysia diperluas ke sektor lain yang memerlukan tenaga kerja, khususnya sektor perawatan.
“Itu akan kami bincangkan di peringkat kami kerana ia di luar bidang Kementerian Luar, ia di bawah Kementerian Kesihatan. Tetapi saya berkeyakinan bahawa itu satu cadangan yang baik untuk kita juga, kebaikan kepada industri kesihatan Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Tambahnya, Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dijangka dianjurkan antara Ogos hingga penghujung tahun ini.-UTUSAN










