PETALING JAYA: Rakyat Malaysia bakal menikmati tempoh sah laku pasport sehingga 10 tahun dengan kadar bayaran RM350 tidak lama lagi.
Tarikh kuat kuasa tempoh baharu itu akan diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sehingga pengumuman dibuat, tempoh sah laku pasport masih kekal selama lima tahun.
“Buat masa sekarang kita masih mengeluarkan pasport dengan tempoh sah laku lima tahun seperti biasa,” katanya.
Terdahulu, merujuk Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2026 yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan, warga emas berusia 60 tahun ke atas dikenakan bayaran RM175 bagi pasport tempoh sah laku 10 tahun.
Warta yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu turut memaklumkan, golongan orang kurang upaya (OKU) berusia 18 tahun ke atas yang berdaftar di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 pula layak mendapatkan pasport secara percuma.
Warta dikeluarkan itu turut menetapkan kadar bayaran bagi menggantikan pasport yang rosak atau hilang bagi warganegara berusia 13 hingga 59 tahun iaitu untuk kes pertama kali adalah RM550.
Kadar bayaran itu meningkatkan berbanding RM400 dikenakan sebelum ini.
Penggantian kali kedua pula dikenakan RM850, sementara penggantian seterusnya RM1,350.
Bagi kes membabitkan warganegara berusia lebih 60 tahun, kes pertama penggantian dikenakan kadar bayaran RM375, RM675 (kedua) dan seterusnya RM1,175.
OKU berusia 18 tahun ke atas dan pegawai imigresen yang turut berdepan kes sama bagi penggantian pertama dikenakan kadar bayaran RM200, RM500 (kedua) dan RM1,000 bagi kes berikutnya.-UTUSAN










