PETALING JAYA: Tourism Malaysia dengan kerjasama AirAsia, Tourism Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyambut penerbangan sulung terus yang menghubungkan Jakarta, Indonesia ke Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Langkah berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh ketersambungan serantau sekali gus menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Penerbangan AirAsia AK2354 yang menggunakan pesawat Airbus A320 berkapasiti 180 tempat duduk itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) pada pukul 3.50 petang waktu tempatan.
Laluan baharu ini menyediakan akses yang lebih luas antara Indonesia dan Pantai Timur Malaysia, selain membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perdagangan dan kerjasama ekonomi.
Penerbangan sulung ini merekodkan seramai 117 penumpang dengan faktor muatan sekitar 63 peratus, yang mana komposisi pengembara sebahagian besarnya terdiri daripada pelawat Indonesia dan Singapura di samping rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, peluncuran perkhidmatan terus itu menjadi satu lagi peristiwa penting dalam mengukuhkan ketersambungan serantau di bawah TMM2026.
“Indonesia kekal sebagai salah satu pasaran sumber utama kami dan laluan baharu ini menyediakan akses yang lebih besar untuk pengembara yang mencari pengalaman budaya, warisan, dan alam semula jadi yang tulen.
“Perkhidmatan itu juga dijangka menyokong pertumbuhan sektor pelancongan perubatan serta memudahkan pertukaran antara masyarakat dari kedua-dua buah negara,” katanya dalam kenyataan.
Majlis sambutan tersebut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor serta Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Asia Tenggara Tourism Malaysia, Baizuri Baharum.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani dan Pengarah Hal Ehwal Global dan Kerajaan AirAsia, Zamani Rafique.
Sementara itu, Pengarah Tourism Kelantan, Azwan Ab Rahman berkata, pembukaan laluan ini dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan ketibaan pelancong dari Indonesia ke Kelantan, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pelancongan budaya utama.
“Pelancong dari Jakarta bukan sahaja dapat menikmati produk pelancongan unik seperti Pasar Siti Khadijah, Masjid Kampung Laut, Kampung Kraftangan, dan Stong Geopark, malah Kota Bharu berpotensi menjadi hab transit strategik ke destinasi lain.
“Kedudukan geografi Kelantan yang hampir dengan sempadan memudahkan pengembara meneruskan perjalanan ke selatan Thailand seperti Hat Yai, Narathiwat, dan Pattani, selain menjadi pusat transit ke pulau popular di Pantai Timur seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang, dan Pulau Kapas,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, syarikat penerbangan itu bangga melancarkan perkhidmatan terus berkenaan demi menyokong cita-cita pertumbuhan pelancongan negara menjelang TMM2026.
“Sebagai syarikat penerbangan terkemuka ASEAN, AirAsia kekal komited untuk menghubungkan destinasi kurang mendapat perkhidmatan dengan hab serantau utama bagi mencipta lebih banyak peluang ekonomi,” katanya.
Bagi pihak MAHB, Mohd Izani Ghani berkata, pelancaran laluan ini membuktikan bagaimana pelaburan infrastruktur lapangan terbang yang strategik mampu mencipta peluang pertumbuhan baharu.
“Susulan siapnya projek pembesaran terminal LTSIP yang kini mampu menampung empat juta penumpang setahun (mppa) berbanding 1.5 mppa sebelum ini, Kota Bharu kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyokong perkhidmatan antarabangsa dan pertumbuhan trafik masa hadapan,” katanya.
Setakat April 2026, Malaysia dan Indonesia dihubungkan melalui 634 penerbangan mingguan yang menawarkan lebih daripada 114,806 tempat duduk seminggu.
Pengenalan laluan terus ini dijangka memperkukuh aliran pelancongan, pertukaran budaya, perjalanan perniagaan, serta meningkatkan akses ke Pantai Timur melalui pintu sempadan utama seperti Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor. -UTUSAN










