MARAN: Lebih 30,000 ahli pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) di seluruh negara digerakkan sebagai barisan hadapan komuniti dalam memerangi penyalahgunaan dadah yang terus mengancam generasi muda di tanah rancangan.
Presidennya, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kekuatan jaringan KAF dimanfaatkan bagi memperhebat usaha pencegahan, pemantauan serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya najis dadah.
Penglibatan aktif ahli peringkat akar umbi mampu menjadi benteng membantu pihak berkuasa mengesan dan mengekang penularan gejala berkenaan.
“Masalah dadah melibatkan masa depan generasi Felda. Sebab itu KAF memainkan peranan aktif sebagai rakan strategik kerajaan, Felda dan agensi penguatkuasa dalam usaha membanteras gejala ini,” katanya kepada Utusan Malaysia merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan KAF Wilayah Jengka di Wisma Peneroka, di sini semalam.
Utusan Malaysia melaporkan, seramai 1,153 penagih dan bekas penagih dadah dari kawasan rancangan Felda di seluruh negeri ini mengikuti program rawatan dan pemulihan sehingga April lalu oleh Agensi Antidadah
Kebangsaan (AADK). Ia mewakili kira-kira 33 % daripada keseluruhan 3,442 klien direkodkan AADK Pahang.
Daripada jumlah itu, sebanyak 660 kes melibatkan penagih baharu manakala 493 lagi merupakan kes berulang.
Amizar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Koperasi dan Usahawan Pahang ini berkata, kerajaan negeri bersama Felda memperhebat usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi penubuhan Skuad Maya yang berperanan sebagai pemantau dan penyalur maklumat berkaitan aktiviti dadah di kawasan tanah rancangan.
Ia turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK, membolehkan maklumat diperoleh sistematik melalui pemantauan di setiap blok Felda.
Pelbagai program diatur termasuk Program Kampung Selamat, Operasi Bersepadu, Gerakan Pemerkasaan Rakyat (GEGAR) dan aktiviti advokasi komuniti di kawasan Felda. – UTUSAN










