Ahli Ikram dituduh lagi, tak mengaku ubah wang haram hampir RM18 juta

Ahli Ikram dituduh lagi, tak mengaku ubah wang haram hampir RM18 juta

FAKHRUDIN Abd Karim yang didakwa atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Hulu Selangor didakwa lagi terhadap 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah hampir RM18 juta bagi pelbagai tujuan termasuk pembelian tujuh kereta mewah, antara tahun 2021 hingga 2025.

Pada 16 Jun lalu, Fakhrudin Abd. Karim, 57, yang juga bekas pegawai pertubuhan itu turut mengaku tidak bersalah terhadap 158 pertuduhan rasuah berjumlah RM98.27 juta ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pada prosiding hari ini, Fakhrudin mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Bagi empat pertuduhan, dia didakwa menyalurkan wang berjumlah RM10.54 juta dengan memindahkan wang daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada akaun syarikat MAG Builders Sdn Bhd. bagi pembayaran ‘Proposed Design For New Bungalow’ miliknya di Bandar Kundang, Gombak.

Tertuduh juga berdepan tiga pertuduhan memindahkan wang RM2.66 juta daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada akaun kad kredit miliknya bagi menjelaskan baki kad kredit tersebut.

Selain itu, Fakhrudin juga didakwa menggunakan lebih RM4.79 juta dengan memindahkan wang daripada akaun bank Ehsan Cares Solution itu kepada dua akaun bagi dua buah syarikat iaitu Wiranusa Corporation Sdn Bhd dan Promosi Mantap Sdn Bhd..

Ia bagi membiayai pembelian tujuh kenderaan mewah iaitu Mercedes Benz, Range Rover, dua biji Porsche 911, dua biji Toyota Alphard dan Lexus RX300 yang didaftarkan atas namanya sendiri dan tiga individu lain.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah bank di Jalan Maarof, Bangsar serta Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 6 Januari 2021 dan 21 April 2025.

Bagi 17 pertuduhan itu, ia dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah mengguna pakai jumlah jaminan dan syarat tambahan seperti mana ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

Turut dipohon agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi membolehkan ia dibicarakan bersama 158 pertuduhan rasuah lain yang sedang dihadapi tertuduh.

Peguam bela Datuk N. Sivananthan mewakili Fakhrudin tidak membantah dan bersetuju dengan semua cadangan yang dikemukakan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan seperti yang diminta pendakwaan selain menetapkan sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Ogos ini.

Pada prosiding di Shah Alam, mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan penyerahan pasport serta tidak mengganggu saksi pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN