Pas dan Bersatu umum calon berasingan malam ini

Pas dan Bersatu umum calon berasingan malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijadualkan mengadakan majlis pengumuman calon secara berasingan walaupun masih di bawah bumbung Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Berdasarkan hebahan dibuat Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melalui Facebook miliknya, Pas dijadualkan mengadakan majlis pengumuman calon PRN Johor di Laman Muafakat, Bakri pada pukul 8.30 malam ini.

Sementara itu, Bersatu dijadualkan mengadakan ceramah umum dan majlis pengumuman calon di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pagoh iaitu kawasan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pukul 8 malam ini.

Dalam hantaran hebahan program itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan ia membabitkan pengumuman calon Bersatu yang bertanding atas tiket PN.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan berhubung pengumuman calon membabitkan tiga lagi parti komponen PN iaitu Gerakan, MIPP dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang baru saja diterima masuk ke dalam gabungan tersebut.

Semalam, PN mengadakan mesyuarat agihan kerusi PRN Johor dengan dipengerusikan oleh Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Dalam mesyuarat itu, Muhammad Sanusi mengesahkan semua parti komponen yang bertanding akan menggunakan logo PN dalam pilihan raya tersebut.

Beliau juga memaklumkan, Bersatu akan bertanding paling banyak kerusi dalam PRN Johor namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung agihan kerusi.

Berdasarkan perkongsian Ahmad Samsuri di Facebook, beliau telah menurunkan tandatangan watikah calon PN untuk PRN Johor membabitkan Pas, Bersatu, Gerakan, MIPP dan Pejuang malam tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN