JOHOR BAHRU: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menzahirkan kekecewaan apabila Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak memenuhi jemputan rasmi bagi Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 di Taman Ungku Tun Aminah, di sini hari ini.
Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, jemputan itu dibuat bagi membolehkan kerjasama antara kementerian dan diteruskan demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat Johor.
Katanya, surat jemputan rasmi telah diserah kepada pejabat Menteri Besar Johor dan juga exco bertanggungjawab, Isnin lalu.
“Saya rasa terkilan apabila jemputan tidak disambut kerana mengikut adat Melayu, orang berbudi kita berbahasa. Okey, datang pun tak datang, jawab pun tak jawab, sambut pun tak sambut.
“Sebab itu, kita harus memilih pemimpin yang rendah hati, yang berjiwa rakyat, yang berjiwa besar. Bila Menteri Persekutuan datang, tidak ada yang datang sambut dan dilayan, ini bukan budaya Malaysia,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 di Taman Ungku Tun Aminah, di sini hari ini.
Tambah Kor Ming, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting bagi membolehkan sebarang peruntukan disalur dilaksana dengan cepat, tepat dengan rakyat dapat menikmati manfaat yang disediakan.
“Keadaan ini kritikal di Johor yang merupakan gerbang pintu masuk utama negara serta berpotensi menjadi hab ekonomi utama Malaysia. Saya berdoa Johor menjadi negeri yang sehaluan bersama dengan kerajaan Persekutuan supaya senang untuk kita bekerja, untuk berbakti, untuk kita berjasa.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dan cakna untuk mengorak langkah bersama rakyat Johor. Kita patut menjaga keharmonian masyarakat dan mempertahan kestabilan politik supaya nilai ringgit kita kekal kukuh dan ekonomi kita boleh berkembang,” katanya.-UTUSAN










