MONTERREY: Ketua jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos menyifatkan kejayaan pasukannya melangkah ke peringkat kalah mati Piala Dunia 2026 sebagai jawapan terbaik kepada pengkritik yang sebelum ini meragui kemampuan Bafana Bafana.
Afrika Selatan mencipta sejarah apabila layak ke pusingan kedua buat pertama kali selepas menewaskan Korea Selatan 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A, semalam.
Kemenangan itu membolehkan mereka menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan di belakang tuan rumah Bersama, Mexico yang mencatat rekod bersih tiga kemenangan.
Sebelum itu, Afrika Selatan yang kali terakhir beraksi di Piala Dunia ketika menganjurkannya pada 2010, tewas 2-0 kepada Mexico pada perlawanan pembukaan, namun bangkit dengan keputusan seri menentang Republik Czech sebelum melakar kemenangan penting ke atas Korea Selatan hasil jaringan Thapelo Maseko.
Jurulatih berusia 74 tahun itu berkata, kejayaan tersebut membuktikan keteguhan pasukannya meskipun menerima kritikan hebat sejak awal kejohanan.
“Saya sangat bangga dengan prestasi pasukan saya dan kami telah memberi jawapan kepada semua mulut celupar yang meragui kami. Kami hanya lakukan apa yang kami rancang dan ini adalah hasilnya.”
Menurut jurulatih dari Belgium itu, hubungan erat antara pemain dan barisan kejurulatihan menjadi antara kunci kejayaan pasukan tersebut.
“Antara saya dan pemain ada hubungan yang sangat baik. Saya bukan sekadar jurulatih, tetapi juga seperti rakan kepada mereka,” katanya.
Afrika Selatan seterusnya akan menentang Kanada, salah satu tuan rumah kejohanan, di Los Angeles, Ahad ini bagi merebut tempat ke suku akhir.
“Kami akan bersedia sekali lagi dan cuba melangkah lebih jauh. Pemain mahu membuktikan mereka adalah pasukan yang berkualiti,” kata Broos. – AFP










