AGC perlu teliti aduan skim pelaburan pulangan sewa terjamin didakwa tidak sah

AGC perlu teliti aduan skim pelaburan pulangan sewa terjamin didakwa tidak sah

HISHAMUDDIN Hashim menyerahkan dokumen aduan kepada Ketua Unit Komunikasi Strategik Jabatan Peguam Negara, Amir Khusairi Harun di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon pertimbangan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meneliti aduan berhubung skim pelaburan pulangan sewa terjamin (GRR) yang didakwa tidak sah hingga memperdayakan seramai 69 mangsa.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mangsa yang terlibat telah membuat aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan isu tersebut.

“Kita minta pertimbangan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar supaya dapat meneliti representasi yang dikemukakan ini dan mengarahkan agensi seperti SSM untuk melengkapkan kertas siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada bahagian pendakwaan.

“Jika terdapat elemen ketidakpatuhan maka kita minta supaya satu pendakwaan dapat dilakukan kepada suspek terlibat di dalam kes ini dan supaya dapat memberikan keadilan kepada mangsa-mangsa yang mengalami kerugian,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.

Menurut Hishamuddin, pihaknya menerima aduan daripada mangsa pada pertengahan tahun lalu berhubung satu skim pelaburan GRR yang dijalankan oleh sebuah syarikat pemaju tempatan.

Jelasnya, mangsa hadir membuat laporan kepada MHO merupakan pemilik unit rumah di dalam projek skim berkenaan yang melibatkan sebanyak 69 unit dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM43,740,208.66.

“Isu ini bukan isu pembelian (rumah), pemaju yang sama telah wujudkan syarikat kedua dengan memberikan jaminan GRR. Ini bukan macam kita beli rumah biasa, kalau rumah biasa tiada masalah, mereka datang dengan satu pakej kedua iaitu GRR.

“Skim GRR ini, pembelian ini bukan kerana orang nak beli dan duduk, mereka beli kerana tertarik dengan penawaran GRR.

“Pembeli ini apabila mereka menandatangani perjanjian, mereka tidak ada kawalan lagi pada rumah mereka, bayangkan dia hanya bayar ansuran bulanan, tapi rumah itu digunakan oleh orang lain, dia tidak boleh kutip sewa, tak boleh masuk atau pun duduk, tapi yang pasti ansuran kena bayar setiap bulan,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa mangsa tidak seharusnya dibiarkan menanggung kerugian dan beban kewangan akibat janji serta representasi yang didakwa gagal ditunaikan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN