PETALING JAYA: Seramai 400 individu mengadu tertipu dengan skim pelaburan perdagangan mata wang Forex membabitkan kerugian RM100 juta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi tawaran pelaburan tersebut melibatkan sebuah syarikat yang melantik broker pelaburan.
“Broker tersebut adalah pihak yang menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat. Broker tersebut kemudian turut melantik sebuah persatuan sebagai agensi pemasaran bagi mempromosikan skim-skim pelaburan itu,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Menurut beliau, pihak MHO mengesyaki tawaran skim pelaburan itu tidak sah ekoran syarikat-syarikat tersebut gagal mematuhi syarat yang diperuntukkan untuk mengawalselia agensi pelaburan di Malaysia.
“Pengadu-pengadu mendakwa mereka tertarik menyertai pelaburan itu kerana ditawarkan pulangan yang sangat menarik,” kata beliau.
Selain itu, kata Hishamuddin, terdapat bank-bank di negara ini yang disyaki digunakan sebagai medium untuk menghantar wang yang dilaburkan mangsa ke luar negara.
Menurut beliau, sehingga kini dalang-dalang skim pelaburan tersebut masih aktif dan giat mempromosikan kepada orang ramai.- UTUSAN










