KULIM: Seorang pemandu bas cedera di kepala selepas kenderaan dipandunya terbabas dan memasuki laluan bertentangan dalam kejadian di Jalan Lebuh KTC, Kulim Hi-Tech Park (KHTP), pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.35 pagi melibatkan sebuah bas yang membawa seramai 32 pelajar kolej swasta.
“Bagaimanapun, kesemua 32 pelajar yang berada di dalam bas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua pelajar terbabit kemudian dihantar ke kolej menggunakan sebuah van.
Tambahnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca sebenar kejadian masih disiasat. – UTUSAN










