GOMBAK: Komuniti pekakbuta kini diiktiraf sebagai antara subkategori Orang Kurang Upaya (OKU) Pelbagai bagi membolehkan dasar, bantuan dan perkhidmatan lebih bersasar dirangka mengikut keperluan golongan itu.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Sunarni Mastury berkata, pengiktirafan itu diluluskan kerajaan melalui Majlis Kebangsaan Bagi OKU.
Sunarni berkata, langkah berkenaan penting kerana pekakbuta bukan sekadar gabungan ketidakupayaan pendengaran dan penglihatan, sebaliknya satu keadaan unik yang memerlukan kaedah komunikasi, sokongan serta ekosistem berbeza.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar perubahan pada kad pendaftaran OKU, tetapi kunci utama yang membuka pintu kepada penggubalan dasar bantuan, pelan perlindungan sosial dan penyediaan kemudahan aksesibiliti yang lebih adil serta bersasar khusus buat komuniti pekakbuta.
“Penambahan subkategori pekak buta juga membolehkan kerajaan, pakar perubatan dan pendidik merangka program intervensi, bantuan serta modul pendidikan yang spesifik mengikut keperluan unik individu pekak buta,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Pekakbuta Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan Kali Pertama di Dewan Wadi Budi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.
Program itu dianjurkan Deafblind Association of Malaysia for Awareness and Inclusion (DAMAIKU) dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan Unit Perkhidmatan OKU UIAM.
Sunarni berkata, sehingga Mei lalu, JKM merekodkan 69,322 OKU Penglihatan dan 51,089 OKU Pendengaran, mewakili 14 peratus daripada jumlah keseluruhan OKU berdaftar di bawah Sistem Maklumat OKU (SMOKU).
Katanya, pengumpulan data lebih tepat mengenai populasi pekakbuta penting bagi membantu perancangan bajet, fasiliti, pendidikan, teknologi bantuan dan sokongan komunikasi pada masa depan.
“Komuniti pekakbuta tidak boleh tercicir daripada arus perdana, selaras dengan agenda keterangkuman sosial di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kerajaan mahu memastikan tiada seorang pun daripada komuniti OKU dipinggirkan dengan menyediakan akses saksama kepada pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan infrastruktur awam,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Protem Damaiku, Prof. Madya Dr. Nor Azizan Che Embi berkata, sambutan pertama itu bertujuan meraikan komuniti pekakbuta selain memperluas kesedaran masyarakat terhadap peranan pertubuhan tersebut.
Katanya, Damaiku memberi tumpuan kepada rehabilitasi, penyamaan peluang, integrasi sosial, latihan asas, sokongan keluarga dan advokasi berkaitan hak komuniti pekakbuta.
“Matlamat Damaiku adalah memastikan komuniti pekakbuta mendapat kualiti kehidupan seperti insan lain melalui sokongan, latihan, jaringan keluarga, pendidikan dan penyelidikan,” katanya.-UTUSAN










