13 termasuk pengarah, bekas pengarah agensi kerajaan ditahan rasuah RM2.5 juta

13 termasuk pengarah, bekas pengarah agensi kerajaan ditahan rasuah RM2.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 13 individu termasuk seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di utara tanah air ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2.5 juta.

Penahanan kesemua suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an itu dilakukan antara pukul 8 hingga 11 malam pada Isnin lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.

Kesemua mereka disyaki meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor sebagai dorongan melantik syarikat-syarikat kontraktor yang dikawal oleh ejen-ejen kartel syarikat bagi memonopoli kerja-kerja lantikan terus dan sebut harga agensi tersebut.

Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM berkata, lapan daripadanya yang ditahan adalah penjawat awam manakala lima lagi adalah orang awam dan pemilik syarikat.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2026.

“Kontraktor yang ditahan telah mengesahkan mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah untuk diberikan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Katanya, tiga daripada mereka melibatkan dua orang penjawat awam dan seorang pengarah syarikat telah direman selama dua hari bermula 16 sehingga 17 Jun ini.

“Manakala 10 lagi suspek direman lima hari juga bermula 16 sehingga 20 Jun ini selepas Majistret Anis Hanini Abdullah membenarkan permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pagi semalam,” jelasnya. 

Pada Isnin lalu, Bahagian Siasatan SPRM telah menjalankan operasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak menerusi Op Drain.

Menerusi operasi ini, sebanyak 25 lokasi yang terdiri daripada kediaman, premis pejabat dan agensi kerajaan telah digeledah dan menyita beberapa barangan seperti wang tunai berjumlah kira-kira RM 1.5 juta.

Turut disita iaitu satu unit jam tangan mewah, dua kenderaan, satu motosikal berkuasa tinggi (sebuah) dan barangan kemas bernilai kira-kira RM1 juta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN