MT PN boleh pecat parti anggota tanpa pengesahan Majlis Presiden

MT PN boleh pecat parti anggota tanpa pengesahan Majlis Presiden

WAN Rohimi Wan Daud
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mempunyai kuasa untuk memecat mana-mana parti anggota melalui keputusan majoriti tanpa pengesahan Majlis Presiden.

Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, kuasa tersebut diperuntukkan menerusi Fasal 8.4(iii), Fasal 13 dan Fasal 15 Perlembagaan PN.

Katanya, prosiding terhadap parti anggota boleh dimulakan melalui peruntukan tatatertib di bawah Fasal 15, manakala Majlis Tertinggi boleh menubuhkan Jawatankuasa Tatatertib bagi meneliti perkara berkenaan.

“Keputusan tatatertib sama ada untuk memberi amaran, menggantung atau memecat parti anggota boleh dibuat oleh Majlis Tertinggi melalui Fasal 8.4(iii).

“Jika Majlis Tertinggi membuat keputusan secara majoriti bahawa sesuatu parti anggota dipecat, maka terpecatlah keanggotaan parti politik itu sebagai anggota PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk terus kekal dalam PN dan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menggunakan logo gabungan itu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu sebagai parti pengasas PN tidak mempunyai sebab untuk meninggalkan gabungan berkenaan di samping tiada mana-mana pihak boleh menyingkirkan Bersatu daripada PN secara unilateral.

Katanya, tindakan sedemikian perlu mematuhi perlembagaan gabungan itu, termasuk ketetapan yang memerlukan keputusan dibuat secara konsensus.

Mengulas lanjut, Wan Rohimi berkata, Perlembagaan PN juga tidak mengandungi istilah anggota pengasas yang memberikan kedudukan istimewa kepada mana-mana parti.

Beliau berkata, keputusan pemecatan oleh Majlis Tertinggi akan terus berkuat kuasa dan tidak memerlukan pengesahan daripada Majlis Presiden terlebih dahulu.

Katanya, tiada peruntukan yang memberikan kuasa veto kepada mana-mana anggota Majlis Presiden untuk membatalkan keputusan tersebut.

Bagaimanapun, Wan Rohimi berkata, Majlis Presiden mempunyai kuasa membuat keputusan muktamad berhubung disiplin parti anggota berdasarkan Fasal 7A Perlembagaan PN.

Katanya, keputusan Majlis Presiden perlu dibuat secara konsensus atau sebulat suara, berbeza dengan Majlis Tertinggi yang membuat keputusan secara majoriti.

“Keputusan Majlis Tertinggi yang diangkat kepada Majlis Presiden sifatnya adalah seperti rayuan, walaupun perkataan rayuan tidak dinyatakan dalam Perlembagaan PN.

“Sekiranya Majlis Presiden gagal mencapai konsensus, maka tiada keputusan dibuat oleh badan itu. Ketiadaan keputusan tersebut tidak boleh membatalkan keputusan sah yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi,” katanya.

Wan Rohimi berkata, dakwaan bahawa pengagihan kerusi pilihan raya hanya boleh ditentukan oleh Majlis Presiden juga tidak tepat kerana Fasal 7A.1(b) menetapkan badan itu hanya membuat keputusan terhadap ketetapan kerusi pilihan raya yang dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.

Katanya, berdasarkan pengalaman lalu, perkara yang dibawa kepada Majlis Presiden hanya melibatkan kerusi bermasalah, bertindih atau gagal dimuktamadkan oleh jawatankuasa berkenaan.

“Jika tiada perkara dirujuk, maka Majlis Presiden tidak perlu membuat sebarang keputusan. Oleh itu, mengatakan agihan kerusi hanya ditentukan oleh Majlis Presiden adalah jauh tersasar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN