PETALING JAYA: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia dapat meningkatkan kerjasama dalam mendepani ketidaktentuan global, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada Malaysia.
Menurut Anwar, beliau selamat tiba di Kazan, Rusia bagi memperkukuh kerjasama antara ASEAN dengan negara berkenaan.
“Alhamdulillah, selamat tiba di Kazan, Persekutuan Rusia.
“Mudah-mudahan segala urusan dipermudah, sekali gus memperkukuh kerjasama ASEAN-Rusia dalam mendepani ketidaktentuan global serta menjana manfaat ekonomi yang lebih besar kepada Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin bagi memastikan bekalan minyak dan gas ke Malaysia kekal stabil dalam keadaan ketidaktentuan global ketika ini.
Anwar berkata, pertemuan bersama Putin di Kazan yang turut disertai pemimpin negara-negara ASEAN lain bertujuan mendapatkan jaminan bekalan minyak, gas, diesel dan tenaga kepada Malaysia.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil ketika beberapa negara jiran berdepan kesukaran mendapatkan bekalan minyak. – UTUSAN










