MELAKA: Institusi Raja-Raja Melayu di negara ini tidak sewajarnya dijadikan permainan dan percaturan politik mana-mana pihak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, sebarang usaha berkaitan kedudukan Raja di Negeri Sembilan perlu dilaksanakan mengikut sepenuhnya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Perlembagaan serta adat yang berkaitan.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan Negeri Sembilan dan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengambil pendirian lebih tuntas serta tidak berdolak-dalik atau tunduk kepada tekanan politik ketika menangani kemelut berkenaan.
“Ini soal Raja Berperlembagaan. Kita orang Melayu terutamanya mesti beri contoh yang baik.
“Kalau betul kita junjung Perlembagaan dan tahu prinsip negara ini yang berteraskan Melayu dan majoriti Melayu, kita jaga keharmonian ini.
“Kalau Raja-Raja ini kita boleh tukar ikut bulan sistem raja akan gagal,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Kali Ke-41 di sini malam ini.
Anwar berkata, beliau juga telah meneliti kenyataan Jabatan Peguam Negara berhubung perkembangan di Negeri Sembilan, termasuk pendirian bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak tergugat namun jika terdapat sebarang usul daripada Undang, semua proses dan peraturan yang ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya.
“Kalau ada apa-apa usul daripada Undang dan sebagainya, ikut proses peraturan sepenuhnya.
“Peraturan itu tidak terpakai hanya kepada Raja, tetapi juga kepada Undang. Ikut proses dan kita tidak campur tangan,” katanya.
Anwar menekankan bahawa penghormatan terhadap institusi beraja di Negeri Sembilan perlu berjalan seiring dengan pematuhan kepada Perlembagaan dan undang-undang, termasuk keunikan sistem pemilihan Yang di-Pertuan Besar yang melibatkan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.-UTUSAN.










