KOTA BHARU: Pemilik salun dan kedai makan, Nur Ayu Fatihah Zaudi, 35, atau Yuyu bukan dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan dadah sebaliknya hanya dilepaskan dengan jaminan mahkamah sementara kes terhadapnya masih dibicarakan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, wanita itu dibenarkan diikat jamin RM10,000 minggu lalu selepas pertuduhan terhadapnya diturunkan daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada Seksyen 39A(1) akta sama.
Katanya, keputusan menurunkan pertuduhan dibuat berdasarkan laporan kimia dan berat dadah yang dirampas bersama suspek.
“Kes ini masih dalam proses perbicaraan. Pendakwaan terhadap wanita itu dan seorang lagi suspek diturunkan kepada Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membolehkan mereka diikat jamin.
“Nur Ayu Fatihah dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 pada minggu lalu. Ikat jamin yang dibayar itu belum lagi menentukan sama ada dia bebas sepenuhnya daripada pertuduhan kes dadah,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, selain Yuyu, seorang lagi suspek didakwa mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, dua lagi suspek termasuk suaminya masih kekal berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 39B akta sama.
Pada 11 Julai tahun lalu, seorang pemilik salun suaminya dan tiga lagi individu dilaporkan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram (kg) dadah jenis pil kuda di tiga lokasi dekat sini, pada 27 Jun lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh iaitu Mohd. Faizal Ismail, 35; isterinya, Nur Ayu Fatihah; Mohamad Farid Ismail, 33; Mohd. Khairu Azani Mohd. Lawi, 39, dan Mohamad Asmawi Janudin, 25, selepas pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Syed Farid Syed Ali.
Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. – UTUSAN










