SHAH ALAM: Pelawak dan pelakon, Amyza Adnan tidak menyangka anaknya, Adrian Adam menerima tawaran daripada seorang komposer yang juga pemilik syarikat rakaman hanya kira-kira 30 minit selepas membuat persembahan dalam program Talk To My Manager 2 (TTMM2), malam tadi.
Berkongsi perkara itu, Amyza, 50, berkata individu berkenaan menyatakan hasrat untuk menghasilkan sebuah lagu khas buat Adrian menerusi aplikasi WhatsApp.
“Sebelum ini memang pernah terdetik dalam hati, kalaulah ada mana-mana komposer yang sudi menghasilkan lagu untuk Adrian.
“Tetapi saya tidak sangka Allah gerakkan hati individu tersebut. Ini rezeki yang langsung tidak dijangka.
“Individu itu menghantar WhatsApp dan menawarkan untuk menghasilkan lagu buat Adrian sejurus selepas persembahan tadi,” katanya.
Amyza ditemui Utusan Malaysia ketika konsert minggu kelima Talk To My Manager di Auditorium MBSA, di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Adrian Adam, 18, mengakui terkejut dan gembira menerima tawaran berkenaan serta menganggapnya sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang melawan kanser tulang yang dihidapinya.
“Rasa terkejut dan gembira. Insya-Allah saya bersedia untuk mengikuti kelas vokal dan membuat persediaan bagi lagu ini.
“Mungkin ini menjadi pemangkin semangat untuk saya terus berjuang. Saya anggap nyanyian sebagai satu terapi untuk kesihatan mental,” katanya.
Sebelum ini, Adrian membuat kemunculan khas di pentas TTMM2 dengan menyampaikan lagu Ku Mohon sambil berkerusi roda.
Kemunculan itu mendapat tepukan gemuruh penonton yang berdiri memberikan sokongan, malah barisan juri menyifatkan Adrian berpotensi memberi saingan sengit sekiranya bertanding sebagai peserta program tersebut.
Adrian sepatutnya menjadi salah seorang peserta dalam TTMM2 namun terpaksa mengundur diri selepas didiagnos kanser tulang Februari lalu -UTUSAN










