KUALA LUMPUR: Kapal Malaysia yang memilih untuk menggunakan bendera negara yang didaftarkan di negara lain, termasuk Singapura, adalah antara faktor yang menyebabkan kelewatan bagi mendapatkan kelulusan transit sebelum dibenarkan berlayar melintasi Selat Hormuz.
Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah, berkata, selain itu, keadaan tersebut menyebabkan ada kapal yang terpaksa menunggu dalam tempoh lama kerana mempunyai kaitan dengan pendaftaran, pemilikan dan pengurusan di Singapura.
Selain itu, katanya, struktur pemilikan dan situasi geopolitik juga dilihat banyak mempengaruhi penilaian risiko operasi di rantau tersebut.
“Kita bimbang apabila berlaku kelewatan dan ketidakpastian yang dihadapi beberapa kapal (Malaysia) di Selat Hormuz, khususnya kapal yang beroperasi di bawah bendera Singapura atau mempunyai kaitan dengan pendaftaran, pemilikan dan pengurusan Singapura.
“Kita bukan hendak menuding jari pada mana-mana negara atau pihak berkuasa, namun perlu diakui faktor identiti negara bendera, struktur pemilikan dan situasi geopolitik semasa, semakin mempengaruhi penilaian risiko operasi di rantau tersebut.
“Kita bimbang ia memberi implikasi terhadap para pelaut yang terpaksa menanggung kesan operasi dan kemanusiaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebuah kapal sokongan milik syarikat Malaysia, Vantris Energy sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy berjaya melalui Selat Hormuz, menurut data perkapalan LSEG semalam.
Ia sekaligus menjadi kapal keempat yang mempunyai kaitan dengan Malaysia yang melintasi laluan perairan itu sejak tercetusnya perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Kapal Sapura 1200 adalah antara tujuh kapal yang dimohon kebenaran oleh Kerajaan Malaysia daripada Iran untuk melalui selat berkenaan, yang kebanyakannya ditutup sejak konflik tercetus akhir Februari lalu.
Data LSEG menunjukkan kapal itu melalui selat berkenaan dengan berlayar berhampiran pantai Iran sebelum menuju ke Oman dan memasuki pelabuhan Muscat.
Ikmal Azam berkata, tempoh berlabuh dan menunggu yang berpanjangan boleh menyebabkan peningkatan tekanan mental dan keletihan dalam kalangan kru selain menjejaskan jadual kontrak serta pelan penghantaran pulang mereka.
“Selain itu, kru kapal juga berdepan cabaran untuk mengekalkan standard kebajikan di atas kapal dan terdedah kepada risiko keselamatan yang lebih tinggi kerana berada lebih lama di perairan sensitif.
“Pelaut tidak seharusnya menjadi mangsa kepada ketegangan geopolitik atau pertimbangan strategik maritim.
“Semua pemilik kapal, pengendali dan pihak berkepentingan supaya memastikan setiap keputusan berkaitan laluan serta transit dibuat secara telus dengan mengutamakan keselamatan dan kebajikan pelaut,” katanya.
Ikmal Azam pada masa yang sama menggesa pengendali kapal Malaysia yang didaftarkan di Singapura atau yang mempunyai kaitan dengan Singapura supaya mengekalkan komunikasi yang jelas dan konsisten dengan kru serta keluarga mereka.
Katanya, langkah perancangan kontingensi termasuk pilihan lencongan laluan dan mekanisme sokongan kebajikan kru perlu dipastikan tersedia sekiranya keadaan memerlukan.
“NUSPM bersama Persekutuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) akan terus memantau perkembangan ini secara dekat dan tidak teragak-agak membawa isu berkenaan ke saluran maritim dan buruh antarabangsa sekiranya keselamatan serta kesejahteraan pelaut terus terancam,” katanya. – UTUSAN










