PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen memohon penjelasan rasmi daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung sekatan akses akaun Portal MyKhas milik pejabatnya tanpa sebarang notis.
Beliau berkata, sekatan itu disedari pada 20 Mei lalu apabila pegawai pejabatnya cuba memuat naik beberapa permohonan peruntukan PMR bagi sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Subang.
Katanya, portal berkenaan merupakan platform penting yang digunakan untuk memuat naik, mengurus dan memproses permohonan Projek Mesra Rakyat (PMR) serta pelbagai permohonan lain berkaitan peruntukan kawasan untuk rakyat Subang
“Setelah menghubungi pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan, pegawai saya dimaklumkan secara lisan oleh seorang penjawat awam bahawa akses tersebut telah disekat atas arahan pihak atasan di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wong Chen berkata, pejabatnya telah menghantar e-mel rasmi kepada ICU pada hari sama bagi memohon akses dipulihkan segera serta meminta penjelasan rasmi berhubung sekatan tersebut.
Katanya, pada 21 Mei lalu, pegawainya turut menyerahkan salinan fizikal surat rasmi secara serahan tangan kepada ICU JPM Selangor dan ibu pejabat ICU JPM di Putrajaya.
“Bagaimanapun, sehingga pukul 10 pagi hari ini, pihak kami masih belum diberikan semula akses kepada Portal MyKhas mahupun menerima sebarang penjelasan rasmi bertulis berhubung sekatan tersebut.
“Oleh itu, kenyataan media ini dikeluarkan pada pukul 10.05 pagi bagi memastikan isu yang menjejaskan urusan rakyat ini dimaklumkan secara terbuka kepada umum,” katanya.
Wong Chen berkata, semakan dengan beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan lain di Selangor, termasuk Ahli Parlimen PKR yang turut menghadiri program Hala Tuju Politik Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Ahad lalu, mendapati akaun Portal MyKhas mereka masih boleh diakses seperti biasa.
“Justeru, timbul persoalan mengapa hanya pejabat Ahli Parlimen Subang yang terkesan dengan sekatan ini.
“Sekiranya benar berlaku layanan yang tidak konsisten, perkara ini amat mendukacitakan dan tidak selari dengan prinsip pentadbiran Madani yang adil, telus dan profesional,” katanya. – UTUSAN










