Waspada pakej ziarah luar Mekah sebelum Hari Wuquf

Waspada pakej ziarah luar Mekah sebelum Hari Wuquf

MOHD. Hisham Harun (tengah) dalam sidang akhbar mingguan operasi haji di Pejabat Tabung Haji Mekah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Terdapat pihak tertentu dikesan menawarkan program aktiviti ziarah luar Mekah kepada jemaah haji Malaysia sebelum Hari Wuquf.

Ketua Rombongan Haji, Mohd. Hisham Harun berkata, pergerakan keluar jemaah dari Tanah Haram ketika masih dalam niat haji berdepan implikasi daripada aspek hukum dan keselamatan.

Katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) tidak pernah menawarkan program aktiviti ziarah luar sebelum Hari Wuquf dan syarikat penyedia perkhidmatan dilantik pihaknya hanya berbuat demikian selepas jemaah selesai ibadah haji.

“TH ingin mengingatkan jemaah untuk berwaspada terhadap sebarang tawaran pakej ziarah daripada pihak luar. Ada segolongan individu luar yang mungkin akan menawarkan kepada para jemaah pakej ziarah sehingga ke luar Tanah Haram seperti di Jeddah, Taif dan sebagainya.

“Kita ingin ingatkan kepada para jemaah, pergerakan keluar daripada Tanah Haram ketika masih dalam keadaan berniat haji mempunyai tatacara khusus dan ada implikasi daripada aspek hukum dan juga keselamatan jemaah.

“Justeru, kami ingin menasihatkan para jemaah untuk rujuk terlebih dahulu kepada TH sebelum bersetuju dengan mana-mana tawaran pakej ziarah daripada pihak luar bagi mengelakkan kesulitan di kemudian hari,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Pakar Rujuk Haji, Dr. Mohd. Sirajuddin Siswadi Putera Mo­hamed Shith berkata, jemaah haji yang keluar dari Mekah melebihi dua marhalah seperti ke Taif sebelum hari kemuncak haji dan gagal berniat ihram haji atau umrah ketika masuk semula ke Tanah Suci, boleh dikenakan dam isa’ah tertib dan taqdir iaitu wajib menyembelih seekor kambing.

Ini susulan terdapat segelintir jemaah haji Malaysia yang telah menyelesaikan ibadah umrah dilaporkan keluar dari Mekah menuju lokasi melebihi dua marhalah (lebih 81 kilometer) seperti Taif bagi tujuan ziarah sebelum hari wuquf.

Dalam pada itu, Mohd. Hisham berkata, para jemaah boleh berhubung dengan pihak Pembimbing Ibadat Haji dan Pakar Rujuk bagi mengelakkan daripada jemaah perlu membayar dam sekiranya ada perbuatan yang melanggar tatacara manasik haji. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN