MEKAH: ‘Dah rasa macam tiada harapan, tapi Allah tetap jemput saya.’
Demikian luahan seorang bekas pesakit kanser usus tahap empat yang akhirnya dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji dalam keadaan disifatkannya sebagai mustahil.
Bekas guru, Rossilawati Abdul Razak, 65, berkata, perjalanan hidupnya sejak disahkan menghidap kanser pada 2014 bukan sekadar ujian biasa, sebaliknya satu pertarungan panjang antara hidup dan mati.
Katanya, ketika menerima tawaran haji, dia bertekad untuk pergi menunaikan ibadah itu walaupun menyedari keadaan kesihatannya kurang mengizinkan.
“Saya cakap, apa pun jadi saya mesti pergi. Tapi bila buat pemeriksaan kesihatan, doktor dah geleng kepala macam bayangkan saya tidak lepas. Jadi bermula Institut Kanser Negara (IKN) sehingga Institut Jantung Negara (IJN), saya melalui pelbagai pemeriksaan kesihatan.
“Tapi Alhamdulilah, doktor terakhir cakap semua pemeriksaan okey. Pada waktu itu, saya mampu ucap Alhamdulillah syukur, terasa bermimpi boleh datang sini sebab dengan keadaan ini, saya dah macam tiada harapan, namun Allah izinkan pergi tunai haji di Tanah Suci,” katanya ketika ditemui semalam.
Malah Rossilawati berkata, malah dia sebelum ini pernah hampir berputus asa selepas tiga kali rayuan haji sebelum ini tidak berjaya.
“Saya buat rayuan bertahun-tahun semua tak dapat, sehinggalah 2025 dapat tawaran haji. Apatah lagi dengan keadaan saya ini, rasa susah sangat pergi tunai haji,” katanya.
Menyentuh perjalanan sebagai pesakit kanser, Rossilawati berkata, dia telah menjalani 25 kali kemoterapi dan pembedahan serta kesan rawatan itu menjejaskan fungsi buah pinggang manakala sebelah kakinya menjadi tempang sehingga perlu memakai kasut khas.
“Saya ibarat tengkorak dan bangkai bernyawa waktu itu dengan berat turun daripada 80 kilogram kepada sekitar 40 kilogram,” katanya.
Rossilawati berkata, dia kini bergantung kepada beg najis dan lampin pakai buang serta perlu menyesuaikan ibadah dengan keadaannya termasuk solat.
Dalam pada itu, suaminya, Kamaruzaman Othman, 66, menyifatkan kehadiran mereka berdua ke Tanah Suci ibarat bulan madu kedua setelah melalui perjalanan hidup perkahwinan 41 tahun penuh dengan ujian dan cabaran.
“Alhamdulillah, bila sampai sini, saya rasa hubungan kami jadi lebih rapat macam kembali semula ke zaman muda. Ibarat bulan madu kali kedua,” katanya.
Kamaruzaman yang dilihat lebih banyak memendam perasaan turut mengakui bukan mudah baginya meluahkan emosi, namun pengalaman di Tanah Suci sedikit sebanyak membuka ruang untuk lebih menghargai hubungan bersama isteri.
“Orang lelaki ni susah nak luah tapi bila di sini, saya rasa lebih dekat. Banyak kenangan lama terasa hidup semula,” katanya. – UTUSAN










