DALAM keadaan cuaca panas melampau dan pergerakan manusia yang padat di Masjidil Haram, jemaah haji perlu mengutamakan kualiti ibadah berbanding mengejar kuantiti umrah sunat sepanjang berada di Tanah Suci.
Hal ini kerana fokus kepada prinsip asas dalam fiqh bahawa ibadah wajib seperti wukuf, mabit dan melontar merupakan teras pelaksanaan haji, manakala umrah sunat hanyalah pelengkap.
Justeru, kecenderungan mengejar umrah berulang kali boleh mengakibatkan keletihan fizikal dan menjejaskan fokus terhadap penyempurnaan rukun dan wajib haji dengan sempurna.
Ramai beranggapan lebih banyak umrah bermakna lebih baik, sedangkan dalam haji, keutamaan adalah menyempurnakan rukun dan wajib dengan sempurna.
Kekerapan berulang-alik ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah tambahan boleh menyebabkan keletihan fizikal, lebih-lebih lagi dalam keadaan suhu yang boleh mencecah lebih 40 darjah Celsius. Situasi ini meningkatkan risiko dehidrasi dan keletihan melampau.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila jemaah perlu bergerak dalam jumlah yang besar, berasak-asak dan menempuh perjalanan jauh antara penginapan dan masjid. Tanpa pengurusan tenaga yang baik, ia boleh memberi kesan kepada fokus dan kekuatan ketika kemuncak ibadah haji.
Justeru, jemaah disaran merancang aktiviti ibadah secara seimbang dan mendapatkan rehat mencukupi serta menjaga kesihatan bagi memastikan dapat memberi fokus ketika berada di Arafah dan seterusnya di Muzdalifah serta melontar jamrah.
Pendekatan mengutamakan kualiti ibadah ini selari dengan tuntutan Islam yang menekankan keikhlasan dan penghayatan dalam setiap amalan. Ibadah yang dilakukan dengan kesedaran dan fokus lebih bermakna berbanding amalan yang banyak tetapi dilakukan dalam keadaan letih dan tergesa-gesa.
Kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah memerlukan kekuatan fizikal dan kestabilan emosi yang tinggi. Jika tenaga telah banyak digunakan sebelum itu, jemaah mungkin tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya detik paling penting dalam ibadah haji tersebut.
Akhirnya, jemaah perlu memahami bahawa matlamat utama haji bukanlah untuk mengumpul sebanyak mungkin ibadah tambahan, tetapi memastikan setiap rukun dan wajib dilaksanakan dengan sempurna. Jangan lelah sebelum wukuf, kerana di situlah penentu kepada kejayaan haji yang mabrur. – UTUSAN










