Bas percuma TH jimat perjalanan jemaah ke Masjidil Haram

Bas percuma TH jimat perjalanan jemaah ke Masjidil Haram

JEMAAH haji Malaysia menaiki bas dari Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesyen Bas Jarwal yang terletak berhampiran Masjidil Haram, Mekah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: MEKAH: Bas percuma yang disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dari hotel penginapan ke Masjidil Haram dapat memendekkan perjalanan jemaah haji Malaysia sekitar lima hingga 10 minit.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, perkhidmatan bas secara ulang alik itu akan beroperasi daripada Hotel Abraj Al Tayseer ke Stesen Bas Jarwal yang terletak kira-kira 600 meter berhampiran Dataran Masjidil Haram.

Beliau berkata, perkhidmatan lapan bas secara percuma itu bermula serta-merta sehingga 2 Zulhijjah, namun ia akan diteruskan jika tiada penutupan jalan ke Masjidil Haram.

“Kesemua bas ini beroperasi sepanjang hari selama 24 jam dan ini merupakan bukti komitmen TH dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap penyampaian perkhidmatan kepada jemaah haji untuk tahun ini.

“Dengan adanya perkhidmatan bas ini, jemaah kini mempunyai alternatif untuk bergerak ke masjid pada bila-bila masa dengan lebih baik, lebih mudah dan lebih lancar serta dapat membantu mereka lebih fokus terhadap ibadah di Tanah Suci,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Bas Ulang Alik Jemaah Haji Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Hisham berkata, pihaknya berhasrat menambah bilangan bas daripada lapan kepada 10 buah yang bergantung kepada keperluan semasa.

Katanya, inisiatif itu diharapkan dapat membantu menjamin tahap kesihatan para jemaah khususnya warga emas terutamanya menjelang kemuncak musim haji iaitu hari Wukuf kerana cuaca makin panas.

“Insya Allah jemaah haji tidak perlu berjalan jauh, mereka boleh fokus kepada ibadah menjelang hari kemuncak haji nanti,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, TH menyediakan lima bangunan penginapan di Mekah untuk menempatkan 31,600 jemaah iaitu di Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah bagi musim haji tahun ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN