MEKAH: Tiada laporan diterima membabitkan rakyat Malaysia berhubung tawaran pakej visa palsu dan urusan haji tanpa kebenaran pihak berkuasa setakat ini.
Ketua Rombongan Haji, Mohd. Hisham Harun berkata, pihaknya mengingatkan berkemungkinan wujud pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap individu terdesak ingin menunaikan haji dengan menawarkan pakej haji menjelang Hari Wukuf.
Katanya, Kerajaan Arab Saudi memberikan peringatan tegas bahawa mana-mana individu dengan visa haji tidak dibenarkan untuk memasuki Mekah terutamanya Arafah, Muzdalifah dan Mina.
“Sekiranya ditangkap dan didapati bersalah, hukuman mengikut lunas undang-undang pihak berkuasa Arab Saudi akan dikenakan.
“Tindakan ini juga akan memberi kesan kepada hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi ketika ini.
“Hanya mereka yang mempunyai visa haji yang sah sahaja dibenarkan berada di Tanah Haram dan mengerjakan haji. Jadi ingat, tiada visa, tiada haji,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Hisham berkata, setakat kini terdapat seramai 22,711 orang jemaah telah tiba di Tanah Suci menerusi 74 penerbangan.
Katanya, semua jemaah ini akan berkumpul di Mekah bagi menantikan kemuncak haji iaitu Hari Wukuf yang akan tiba kurang daripada 15 hari lagi.
Menurut beliau, persiapan di Masya’ir juga telah hampir lengkap di mana dalam
masa pengurusan TH akan membuat lawatan ke tapak perkhemahan untuk menyelaras persediaan akhir menjelang Hari Wukuf pada 26 Mei.
Dalam pada itu, Mohd. Hisham berkata, jemaah diingatkan supaya terus menjaga kesihatan memandangkan cuaca dijangka menjadi lebih panas menjelang hari Wukuf.
“Jemaah haji dinasihatkan untuk minum air secukupnya, menggunakan payung ketika berada di luar bangunan penginapan semasa cuaca terik dan mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan risiko tekanan haba.
“Peringatan berulang juga kita berikan kepada seluruh jemaah haji untuk fokus kepada ibadah, simpan tenaga dan kekalkan tahap kesihatan yang baik kerana misi utama kita adalah untuk berwukuf,” katanya. – UTUSAN










