KUALA LUMPUR: Seluruh warga Kementerian Pertahanan (Mindef) perlu terus membudayakan integriti dalam setiap aspek pelaksanaan tugas bagi memastikan kementerian itu kekal sebagai institusi profesional, berwibawa dan diyakini rakyat.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, integriti bukan sekadar menolak rasuah, sebaliknya mencerminkan sikap amanah, bertanggungjawab, telus dan berdisiplin dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Menurutnya, setiap pegawai perlu memastikan kepentingan organisasi dan negara sentiasa diutamakan selain menjaga kerahsiaan maklumat serta mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan.
“ Saya ingin menyeru seluruh warga MIindef agar terus membudayakan integriti dalam setiap aspek pelaksanaan tugas.
“Integriti bukan sekadar menolak rasuah, tetapi mencerminkan sikap amanah, bertanggungjawab, telus serta berdisiplin dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
“Dengan menjadikan integriti sebagai budaya kerja dan nilai teras organisasi, kita bukan sahaja dapat memelihara kepercayaan rakyat malah memperkukuh reputasi kementerian sebagai institusi yang profesional, berwibawa dan diyakini,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan 2026 di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan turut komited memperkukuh kecemerlangan pegawai awam dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelbagai inisiatif pembangunan kompetensi dan pendidikan.
Bagi pegawai awam, katanya, kerajaan memperuntukkan RM400,000 pada tahun ini bagi tujuan latihan yang merangkumi satu peratus daripada emolumen tujuan latihan bagi meningkatkan kompetensi generik dan fungsian.
“Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) sebagai insentif kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang berjaya menamatkan pengajian menggunakan perbelanjaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, melalui inisiatif itu, penerima kelayakan Ijazah Kedoktoran (PhD) akan menerima RM1,250, manakala sarjana (RM1,000), ijazah sarjana muda (RM750) dan diploma RM500.
Ujarnya, pengiktirafan berkenaan diharap mampu menyuntik motivasi kepada penjawat awam untuk terus meningkatkan tahap akademik dan kompetensi diri. – UTUSAN










