KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempercepatkan keupayaan pertahanan tempatan dengan kepakaran global menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia selaras dengan hasrat menjadikan negara sebagai hab pertahanan serantau menjelang 2030.
Katanya, dasar yang dilancarkan pada Januari lalu itu menjadi pelan hala tuju strategik untuk mentransformasikan sektor pertahanan negara kepada ekosistem berteknologi tinggi dan berdikari.
“Program Kolaborasi Industri (ICP) akan menjadi pemacu utama transformasi berkenaan dengan mengalih pendekatan perolehan daripada kaedah konvensional kepada perkongsian strategik yang menekankan pemindahan teknologi dan pengetahuan.
“Kita tidak lagi bergantung kepada perolehan siap guna semata-mata. Setiap perolehan utama kini membuka peluang kolaborasi bermakna yang mampu membawa syarikat tempatan ke dalam rantaian bekalan global,” katanya menyampaikan ucaptama pada forum anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersempena Perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) 2026 & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam.
Tambahnya, usaha itu turut menyasarkan pemain industri tempatan di bawah Majlis Industri Pertahanan Malaysia (MDIC) yang akan diperkasakan sehingga mampu bersaing di peringkat global.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif System Consultancy Services Sdn. Bhd., Datuk Ir. Khalilur Rahman Ebrahim berkata, penyelarasan ICP dengan keperluan nasional amat penting bagi memastikan pemindahan teknologi memberi impak nyata kepada industri tempatan.
Beliau menegaskan, penetapan sasaran penyetempatan serta pengenalpastian jurang teknologi perlu diperincikan dalam dokumen strategik ICP bagi memastikan manfaat optimum kepada negara.
“Kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus penyetempatan dalam perolehan pertahanan, namun perancangan rapi dan kejelasan dalam kerjasama dengan pengeluar peralatan asal (OEM) amat diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Strategic Defence Management Sdn. Bhd., Hasry Harun berkata, matlamat akhir ICP adalah untuk mencapai kedaulatan teknologi supaya Malaysia mampu mengurus dan mengekalkan aset pertahanan secara berdikari, terutama ketika krisis.
Menurut beliau, pendekatan itu memerlukan peralihan daripada aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kepada pembangunan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi serta reka bentuk semula dalam ekosistem tempatan.
“Kebergantungan sepenuhnya kepada pihak luar tidak lagi sesuai dalam keadaan teknologi yang berubah pantas serta rantaian bekalan yang tidak menentu,” katanya. – UTUSAN










