10,511 warga Mindef terima APC, PPT 

10,511 warga Mindef terima APC, PPT 

ADLY ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 10,511 warga Kementerian Pertahanan (Mindef) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) Tahun 2026 sebagai pengiktirafan terhadap khidmat dan komitmen mereka kepada negara.

Daripada jumlah itu, 871 penerima terdiri daripada penjawat awam kementerian manakala 9,467 lagi melibatkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada tiga cabang perkhidmatan.

Selain itu, seramai 172 pesara turut menerima penghargaan menerusi PPT dan sijil penghargaan atas jasa serta sumbangan mereka sepanjang berkhidmat dalam sektor pertahanan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pengiktirafan berkenaan membuktikan kerajaan sentiasa menghargai dedikasi dan komitmen warga pertahanan dalam melaksanakan amanah kepada negara.

“Majlis pagi ini turut meraikan seramai 28 pesara wajib dan 20 pesara pilihan di kementerian. Kita sangat menghargai sumbangan dan kecemerlangan dicurahkan sepanjang perkhidmatan. 

“Jasa tuan-tuan dan puan-puan akan sentiasa dihargai seperti ungkapan peribahasa Melayu, ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan 2026 di sini hari ini. 

Sementara itu, kata Adly, fasa persaraan sememangnya membawa pelbagai perubahan dalam kehidupan penjawat awam khususnya selepas lebih tiga dekad mengimbangi tanggungjawab kerjaya dan keluarga.

Bagaimanapun katanya, persaraan daripada perkhidmatan kerajaan tidak bermaksud berakhirnya sumbangan seseorang kepada masyarakat dan negara, sebaliknya perlu dilihat sebagai peluang untuk meneruskan kehidupan secara lebih seimbang, aktif dan bermakna.

“ Pada kesempatan ini, ingin saya menasihatkan supaya membuat perancangan yang sewajarnya bagi mengisi masa dan memanfaatkan peluang yang ada apabila tempoh persaraan ini bermula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN