ALOR SETAR: Seorang wanita cedera parah di leher dipercayai akibat ditikam seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.19 malam itu, mangsa berusia 35 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa dan suspek berusia 32 tahun dipercayai saling mengenali antara satu sama lain.
“Kita masih menyiasat motif kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Syed Basri berkata, polis juga masih mengesan senjata atau peralatan yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.
Ujar beliau, kejadian itu berlaku di dalam sebuah kereta jenis Mazda dengan mangsa berada di tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan.
“Sejauh mana hubungan mereka kita belum dapat pastikan, namun kedua-duanya bekerja dalam bidang hartanah dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek dan kejadian ini diminta menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya.
Difahamkan, suspek yang menaiki kereta bersama wanita itu bertindak melarikan diri setelah kejadian terbabit dan meninggalkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah. – UTUSAN










