SEREMBAN: Seorang wanita berusia 60 tahun ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di sebuah kawasan perumahan di sini semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8 malam semalam.
Menurutnya, kejadian terbongkar selepas ibu bapa mangsa melihat satu rakaman video berdurasi satu minit 15 saat yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita memukul seorang kanak-kanak lelaki di bahagian belakang sebuah rumah.
“Kanak-kanak dalam rakaman tersebut kemudian dikenal pasti oleh kedua ibu bapanya sebagai anak mereka.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah dihantar oleh ibu bapanya untuk diasuh di rumah suspek yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka sejak kira-kira tujuh bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan siasatan dijalankan, polis menahan suspek kira-kira pukul 9.45 malam di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Seremban bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Semalam, video kejadian itu tular di media sosial selepas dimuat naik oleh seorang individu yang mendakwa terdengar tangisan seorang kanak-kanak dipercayai dipukul pengasuhnya. – UTUSAN









