SHAH ALAM: Polis mengambil keterangan terhadap pengasas dan pemilik sebuah cawangan taska berhubung kejadian seorang kanak-kanak autism berusia 11 tahun dikurung dalam bilik gelap.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Anak Embol berkata, sehingga tengah hari tadi, 20 laporan sudah pun diterima terhadap taska terbabit.
“Bagaimanapun masih belum ada tangkapan dibuat dan polis sedang menyiasat dan menyemak sijil kelulusan, permit dan sebagainya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan pengurusan Al Kauthar Eduqids (AKE) menyegerakan siasatan dalamannya susulan tular kejadian seorang kanak-kanak dipercayai menghidapi autism dikurung tanpa pakaian di dalam sebuah bilik gelap.
Ibu pejabat AKE dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil maklum insiden yang berlaku di salah satu cawangan pusat pendidikan awal itu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular potongan video memaparkan seorang kanak-kanak didakwa menghidapi autism dikatakan dikurung dalam keadaan berbogel dalam sebuah bilik gelap dipercayai stor dekat salah satu cawangan AKE, di sini.
Malah, video itu turut memaparkan keadaan rumah dan bilik yang bersepah seperti tidak terurus.
Video yang ditularkan oleh Caprice menerusi laman Threads itu menerima lebih 4,200 reaksi dan 1,000 komen selain dikongsikan sebanyak 3,500 kali. – UTUSAN










