PETALING JAYA: UMNO menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat atau digantung semalam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu terbuka untuk menerima kembali mereka yang ingin menyertai UMNO.
“Kembalilah ke Rumah Bangsa! UMNO sedia menerima sesiapa sahaja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli Bersatu yang dipecat atau digantung.
“Lagipun semuanya berasal dari rahim UMNO juga, bagaikan sirih pulang ke gagang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, manakala enam lagi wakil rakyat digantung keahlian selama dua penggal pemilihan berkuat kuasa serta-merta.
Mereka yang dipecat ialah ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab. Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis, kedua-duanya ADUN di Kedah.
Enam wakil rakyat Bersatu yang digantung keahlian pula membabitkan lima Ahli Parlimen dan seorang ADUN iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Turut dikenakan tindakan sama ialah Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail dan ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd. Zain. – UTUSAN










