UMNO garis lima fokus cadangan pembaharuan pendidikan negara

UMNO garis lima fokus cadangan pembaharuan pendidikan negara

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 daripada Ketua Sekretariat Kongres Pendidikan Bumiputera, Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi sempena Ulangtahun UMNO ke-80, turut hadir Pengerusi Kongres Pendidikan Bumiputera, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO menggariskan lima fokus utama sebagai cadangan pembaharuan pendidikan negara yang perlu dipertimbangkan secara serius.

Langkah itu bagi memastikan sistem sedia ada kekal relevan, inklusif dan mampu melahirkan generasi masa depan yang seimbang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mewujudkan sistem pendidikan pelbagai laluan yang lebih anjal dan adil akan dijadikan sebagai fokus utama bagi membina hala tuju pendidikan negara.

Katanya, pendekatan ini mengiktiraf bahawa setiap pelajar mempunyai bakat dan potensi berbeza sekali gus tidak wajar diukur melalui satu bentuk peperiksaan sahaja.

“Tidak semua kecemerlangan diukur dengan kaedah yang sama. Sistem pendidikan yang baik bukanlah sistem yang menyeragamkan semua anak tetapi sistem yang mengenal pasti potensi setiap individu.

“Sehubungan itu, laluan pendidikan seperti akademik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), tahfiz, digital, keusahawanan, seni, sukan dan inovasi perlu diperkasa secara seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Konvensyen Pendidikan Bumiputera Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 di sini hari ini.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, selain itu, kerajaan perlu memperluaskan pendidikan prasekolah yang menjadi asas penting dalam membentuk keupayaan pembelajaran sepanjang hayat.

Menurutnya, akses kepada prasekolah perlu diperluas terutama di luar bandar, kawasan miskin bandar, pedalaman Sabah dan Sarawak serta dalam kalangan komuniti rentan.

“Jika asas pendidikan lemah sejak awal, kita akan terus mengejar kelemahan itu sepanjang hayat,” katanya.

Ahmad Zahid dalam masa yang sama turut menekankan kepentingan pemerkasaan wakaf pendidikan bumiputera sebagai sumber pembiayaan jangka Panjang sebagai fokus ketiga yang perlu diberi perhatian.

Katanya, ini kerana wakaf pernah menjadi instrumen penting dalam pembangunan ilmu dan institusi pendidikan.

“Pendekatan ini dilihat mampu membiayai biasiswa, membantu pelajar kurang berkemampuan serta mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan tahunan kerajaan.

“Pendidikan memerlukan dana yang mampan. Wakaf boleh menjadi jambatan antara kekuatan umat dengan masa depan bangsa,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan memartabatkan profesion perguruan yang menjadi tunjang utama dalam membentuk sahsiah dan masa depan pelajar.

Justeru, kebajikan, latihan, beban tugas serta kemudahan sekolah perlu diberi perhatian sewajarnya.

“Jangan sampai guru lebih banyak mengisi borang daripada mendidik murid untuk berjaya,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN