KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan Majlis Tahfiz Negara (MTN) akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, minggu depan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia penting bagi memastikan cadangan tersebut diangkat dan dijadikan sebahagian agenda penting pendidikan nasional.
Katanya, langkah itu juga sekali gus dapat melahirkan lebih ramai huffaz yang bukan sahaja menghafaz al-Quran tetapi turut memiliki kepakaran profesional dalam pelbagai bidang.
“Kita mahu melahirkan jurutera huffaz, doktor huffaz, teknokrat huffaz, usahawan huffaz dan pemimpin huffaz.
“Malah, menjadi cita-cita saya untuk melihat suatu hari nanti lahir Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Perdana Menteri dalam kalangan mereka yang bergelar al-hafiz,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Konvensyen Pendidikan Bumiputera Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, usaha memperkasa pendidikan tahfiz tidak boleh terhenti setakat program sedia ada seperti Prasekolah Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab.
Katanya, satu pendekatan lebih menyeluruh dan tersusun perlu diwujudkan bagi memastikan kesinambungan pendidikan tahfiz ke peringkat lebih tinggi.
“Langkah ini penting supaya pendidikan tahfiz bukan sahaja diperkasa, tetapi turut diberikan laluan lebih luas dalam ekosistem pendidikan negara,” jelasnya.-UTUSAN










