PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan telah menerima notis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan melibatkan usaha sama kerajaan dengan syarikat teknologi global, ARM Holdings.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, notis yang diterimanya kira-kira pukul 3 petang hari ini adalah bagi menghadiri sesi rakaman bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada pukul 10 pagi, Isnin ini.
Menurut Rafizi, siasatan tersebut berkait dengan dakwaan yang dikemukakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perjanjian usaha sama antara kerajaan dan syarikat pembuat cip itu yang didakwa dibuat secara tergesa-gesa.
Beliau berkata, laporan kepada SPRM berhubung perkara itu dibuat tidak lama selepas beliau mengulas pendedahan berkaitan pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Sejak Februari, kes ini menjadi tumpuan utama SPRM, termasuk menyiasat sama ada saya mendesak Jemaah Menteri untuk menandatangani perjanjian tersebut secara tergesa-gesa.
“Tiada motif wang dan tiada sebarang wang terlibat dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau menjangkakan kemungkinan akan berdepan pertuduhan berkaitan pecah amanah, termasuk atas dakwaan memberi maklumat yang tidak tepat atau mempengaruhi keputusan Jemaah Menteri.
Katanya, beliau telah bersedia dengan pasukan peguam bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk proses perbicaraan yang disifatkan bakal berpanjangan.-UTUSAN










