MEKAH: Kekuatan umat Islam tidak cukup sekadar berasaskan ibadah semata-mata, sebaliknya perlu disertai memperkukuh kesatuan ummah dan meninggalkan perpecahan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kekuatan umat Islam tidak akan terbina hanya melalui ibadah khusus semata-mata, sebaliknya perlu disertai hubungan sosial yang baik sesama manusia, pemeliharaan akhlak serta kesatuan hati.
Katanya, Rasulullah melalui Khutbah Haji Wada‘ (Terakhir) telah menggariskan asas penting dalam pembinaan masyarakat bertamadun.
“Seruan Rasulullah bukan sekadar memperbanyakkan ibadat dan munajat, akan tetapi menekankan kepentingan memelihara nyawa, harta dan maruah, menunaikan amanah, menjauhi riba, perpecahan, sikap taksub serta segala bentuk akhlak jahiliah yang merosakkan keharmonian.
“Baginda juga mengingatkan umat agar tidak mempermainkan hukum Tuhan menurut hawa nafsu dan kepentingan duniawi,” katanya ketika menyampaikan Khutbah Arafah di sini hari ini.
Menurut Zulkifli, Nabi Muhammad mengajak agar menegakkan keadilan, memelihara persaudaraan sesama insan serta mengurus kehidupan berlandaskan syariat Tuhan.
“Kesemua ini merupakan ramuan terbaik dalak pembentukan masyarakat Madani yang berpaksikan wahyu Ilahi,” katanya.
Zulkifli berkata, justeru itu akhlak yang diajar dalam ibadah haji bukan sekadar hubungan dengan Allah tetapi juga hubungan sesama manusia termasuk hubungan dengan alam.
Katanya, perkara itu menjadi asas penting masyarakat yang harmoni dan sejahtera atau Masyarakat Madani yang dibina oleh Rasulullah.
Katanya, ibadah haji mengajar manusia bahawa kemajuan sebenar bukan hanya terletak pada pembangunan fizikal, tetapi pada pembangunan jiwa, watak dan akhlak.
“Haji bukan sekadar perjalanan menuju ke tanah suci, tetapi perjalanan kembali kepada fitrah yang sebenar.
“Amal ibadat itu tidak hanya bermaksud untuk kerja-kerja akhirat atau persiapan mati sahaja, akan tetapi merangkumi tujuan membaiki akhlak, membaiki laku perangai, membaiki kelakuan hidup atau sesuatu yang mengelokkan sifat-sifat keperangaian dan budi pekerti,” katanya. – UTUSAN









