PETALING JAYA: Penyanyi Atilia Haron meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang melakukan pembayaran lewat kepada pemuzik dalam industri hiburan tempatan.
Menurut Atilia atau nama penuhnya Raja Atilia Raja Haron, 52, perkara itu dilihat tidak adil memandangkan pemuzik telah menjalankan tugas mereka sepenuhnya.
Katanya, dia sering mendahulukan bayaran kepada pemuzik dan juruteknik bunyi untuk persembahan kelab.
“Saya akan bahagikan bayaran secara adil kepada pemuzik dan juruteknik bunyi yang hadir membuat latihan, melakukan semakan bunyi dengan sekitar dua puluh lagu dimainkan dan membuat persembahan penuh setiap malam,” katanya dalam satu hantaran di Threads miliknya, hari ini.
Atilia yang dikenali dengan lagu Bahagiaku itu mengatakan bahawa mereka masih perlu menunggu sehingga sebulan untuk menerima bayaran yang tidak seberapa itu.
“Bayangkan perlu menunggu sebulan untuk RM400 selepas bekerja sepanjang malam,” katanya.
Bagaimanapun, situasi tersebut seolah-olah menjadikan pemuzik seperti memberi pinjaman tanpa faedah kepada pihak kelab.
“Minat sahaja tidak cukup jika bayaran terus ditangguhkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Atilia menyeru pemilik kelab agar lebih menghargai bakat dan profesionalisme pemuzik.
“Bakat tidak hidup dengan pendedahan semata-mata dan profesionalisme bukan hobi yang dibayar lewat,” katanya.










