Saka taruhan Arsenal robek gawang Atletico

Saka taruhan Arsenal robek gawang Atletico

Bukayo Saka kembali beraksi selepas berdepan kecederaan hamstring.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kepulangan Bukayo Saka memberi nafas baharu kepada jentera serangan Arsenal ketika kelab itu memburu kejuaraan berganda Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.

Aksi bertenaga Saka menyerlah apabila meledak satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan buat Viktor Gyokeres dalam kemenangan bergaya 3-0 ke atas Fulham, kelmarin sekali gus menamatkan kemarau panjang Arsenal untuk menjaringkan tiga gol dalam satu perlawanan selepas 16 aksi.

Kesemua jaringan tersebut hadir sebelum Saka dikeluarkan pada separuh masa oleh pengendali Mikel Arteta sebagai langkah berjaga-jaga, memandangkan pemain sayap England itu baru pulih daripada kecederaan.

Tindakan itu jelas mencerminkan fokus Arteta yang kini terarah kepada aksi kedua separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid awal pagi esok, dengan Arsenal mengintai peluang melangkah ke final kedua dalam sejarah kelab.

Perlawanan tersebut masih terbuka selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi pertama di Sepanyol yang dicemari kontroversi keputusan penalti, apabila kedua-dua jaringan hadir menerusi sepakan dari titik putih.

Arsenal turut merasakan mereka sepatutnya diberikan satu lagi penalti selepas Eberechi Eze dijatuhkan dalam kotak penalti, dengan Saka memainkan peranan penting dalam gerakan berkenaan.

Saka, yang baru sahaja menandatangani kontrak baharu bersama Arsenal, kini kembali mempamerkan sentuhan terbaik selepas pulih daripada kecederaan hamstring yang memaksanya berehat selama tiga bulan musim lalu.

Kelincahan dan ketajamannya di hadapan gol jelas memberi impak besar, termasuk membuka ruang kepada Gyokeres menjaringkan gol pertama sebelum kedua-duanya bergandingan untuk menghasilkan jaringan kedua Arsenal.

“Dia benar-benar memberi perbezaan. Dua aksi daripadanya menentukan perlawanan dan kami tahu kemampuannya.

“Dia kembali pada tempoh paling penting musim ini dan kini dia segar. Fikiran dia segar, keinginan dia berada di tahap tertinggi dan dia perlukan aksi seperti ini untuk memberi impak kepada pasukan,” kata Arteta. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN