TAIPING: Sekretariat Bahana Kesejahteraan Negara (SBKB) mahu kerajaan segera menubuhkan sebuah badan bebas bagi menjalankan penilaian secara telus terhadap keadaan sebenar tiga ekor gajah Malaysia yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka di Jepun.
Pengerusi SBSK, Datuk S. Kalai berkata, badan bebas tersebut perlu melibatkan pakar veterinar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkepentingan.
Menurutnya, badan bebas itu bagi memastikan kebajikan gajah-gajah berkenaan benar-benar dipantau secara profesional dan bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
“Badan bebas tersebut perlu diberikan akses penuh untuk turun ke lokasi, menilai sendiri keadaan habitat, tahap kesihatan, tekanan emosi, pemakanan serta kesesuaian persekitaran yang didiami tiga gajah terbabit iaitu Amoi, Dara dan Kelat.
“Ini bukan isu politik, ini isu khazanah negara. Kita mahu satu penilaian yang telus, profesional dan bebas supaya rakyat dapat mengetahui keadaan sebenar gajah-gajah kita di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping bagi mendesak tiga ekor gajah Malaysia di Jepun dibawa pulang di Majlis Perbandaran Taiping di sini hari ini.
Menurut Kalai, desakan itu dibuat selepas pelbagai rakaman video, gambar dan laporan yang tular di media sosial menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap keadaan habitat dan kebajikan haiwan berkenaan.
“Kerajaan perlu bertindak segera dengan menghantar pasukan bebas yang melibatkan pakar veterinar, NGO dan pihak berkaitan untuk melihat sendiri apa yang sedang berlaku di Jepun,” katanya
Dalam pada itu, Kalai mengakui terkejut apabila Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam sendiri tidak dimaklumkan bahawa ketiga-tiga gajah tersebut akan dihantar ke Jepun.
“Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh menteri ketika satu sesi pertemuan bersama wakil NGO dan aktivis kebajikan haiwan baru-baru ini.
“Dalam pertemuan itu, menteri sendiri memaklumkan kepada kami bahawa maklumat yang diberikan kepada beliau hanyalah untuk tujuan pembiakan dan bukannya pemindahan ke Jepun.
“Beliau sendiri mengakui tidak dimaklumkan bahawa Amoi, Dara dan Kelat akan dihantar ke Jepun. Perkara ini sangat serius dan menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan proses yang berlaku,” katanya. – UTUSAN










