RUU asing peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya dimuktamad dalam masa terdekat

RUU asing peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya dimuktamad dalam masa terdekat

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menyasarkan untuk memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) mengasingkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sasaran itu diletakkan sebelum suatu penyata yang mengandungi cadangan pindaan dikemukakan menjelang mesyuarat terakhir jawatankuasa dijadualkan berlangsung pada 18 Mei ini.

Katanya, mesyuarat hari ini diadakan sebagai kesinambungan kepada siri mesyuarat terdahulu dalam usaha memperhalusi cadangan pindaan Perlembagaan yang berkaitan.

“Dalam mesyuarat hari ini, jawatankuasa telah mendengar pembentangan daripada Jabatan Peguam Negara berkenaan cadangan draf Rang Undang-Undang baharu yang dirangka berdasarkan syor-syor tersebut.

“Mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada penggubalan Rang Undang-Undang ekoran penelitian lanjut terhadap syor-syor yang telah dipersetujui dalam mesyuarat bilangan ke-4,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat dihadiri oleh ahli-ahli iaitu Ahli Parlimen Parit Sulong, Selayang, Bangi, Lubok Antu, Bukit Gelugor, Tawau dan Muar.

Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen iaitu Alor Gajah, Larut, Beluran dan Kota Bharu tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Kerajaan Madani kekal komited untuk memastikan proses pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan secara teliti, berprinsip dan berlandaskan Perlembagaan, selaras dengan usaha memperkukuh doktrin pengasingan kuasa serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN