KUALA LUMPUR: Seorang warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas isterinya di hadapan sebuah kondominium, bulan lalu.
Tertuduh, Aung Tun Ngwa, 26, dituduh membunuh Merry Yet Ngwa, 33, pada pukul 2.30 petang, 23 april lalu di hadapan Blok 1, Kondominium Genting Court di Taman Setapak Indah Jaya di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, M. Naresh manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 31 Julai ini.
Pada 24 April lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilapor berkata, pihaknya menerima maklumat seorang wanita warga Myanmar maut dipercayai akibat ditikam oleh bekas suaminya dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan tikaman di bahagian dada.-UTUSAN










