PETALING JAYA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri Bersatu (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Negeri Sembilan menyatakan pendirian untuk kekal sebagai pembangkang serta memainkan peranan semak dan imbang.
ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dan ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad berkata, mereka bertanggungjawab untuk menyatakan pendirian ekoran UMNO masih memilih untuk kekal di dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
“Sehubungan dengan itu, kami bertekad akan menggalas tanggungjawab sebagai pembangkang yang berwibawa untuk berperanan secara aktif melakukan semak dan imbang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
“Kami juga akan memainkan peranan untuk memantau setiap dasar dan pelaksanaan projek pembangunan di Negeri Sembilan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berhemah demi kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan bersama, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Barisan Nasional dan UMNO di Negeri Sembilan tiada niat untuk menjadi pembangkang di negeri tersebut, sebaliknya akan terus kekal di dalam kerajaan.
Beliau mengulas mengenai kemelut politik di Negeri Sembilan susulan penarikan sokongan parti itu terhadap kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Minggu lalu 14 ADUN Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Sembilan dan menyatakan hilang percaya terhadap Aminuddin.-UTUSAN









