Tuanku Syed Faizuddin santuni bakat muda fesyen KV Kangar

Tuanku Syed Faizuddin Putra santuni bakat muda fesyen Kolej Vokasional Kangar

Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama warga Kolej Vokasional Kangar sempena Bengkel Seni Reka Fesyen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Vokasional (KV) Kangar mengetengahkan kreativiti mereka dalam bidang fesyen menerusi perasmian Bengkel Seni Reka Fesyen di bawah inisiatif Program Titian Kasih Mega 2026 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, baru-baru ini.

Perasmian bengkel anjuran KV berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan turut diiringi bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bagi menyokong pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya dalam industri kreatif.

Baginda turut berkenan menyertai aktiviti mewarna batik, selain meninjau dengan lebih dekat hasil rekaan pelajar serta pameran busana yang dipersembahkan sepanjang program berkenaan.

Keberangkatan baginda mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap usaha melahirkan bakat muda berkemahiran tinggi yang berpotensi diketengahkan ke peringkat industri fesyen negara.

“Saya amat tertarik melihat hasil kerja pelajar yang begitu kreatif dan mempunyai nilai estetika yang tinggi,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berinteraksi secara langsung dengan tenaga pengajar dan pelajar bagi melihat proses penghasilan rekaan daripada lakaran sehingga kepada pembentukan pakaian.

Baginda turut bertanya mengenai inspirasi di sebalik setiap rekaan yang dihasilkan, menunjukkan perhatian terhadap kreativiti dan inovasi pelajar dalam bidang fesyen.

“Minat dan kesungguhan seperti ini wajar dipupuk kerana bidang fesyen mempunyai potensi besar untuk berkembang ,” titah baginda.

Program itu menjadi platform KV Kangar mengetengahkan hasil kerja pelajar seni reka fesyen yang berkualiti serta mempunyai nilai komersial dan identiti tempatan.

Antara hasil pelajar yang turut disampaikan sebagai cendera kenangan kepada baginda ialah tote bag batik yang dihasilkan sendiri oleh pelajar Program Seni Reka Fesyen.

Pengarah Kolej Vokasional Kangar, Zazlan Darus berkata, program itu bertujuan menjadikan KV Kangar sebagai platform melahirkan bakat fesyen yang mampu menembusi pasaran industri.

“Inisiatif itu juga menyokong peningkatan permintaan terhadap TVET dalam industri kreatif, terutama bidang fesyen yang semakin berkembang sebagai kerjaya berdaya saing,” katanya.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra yang beramah mesra dengan pelajar turut memberi suntikan semangat kepada mereka untuk terus mengasah kemahiran dan membina keyakinan dalam bidang berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN