TNB diperintah bayar RM4.7 juta kepada penduduk Lembah Bertam

TNB diperintah bayar RM4.7 juta kepada penduduk Lembah Bertam

Peguam bergambar bersama ahli jawatankuasa dan mangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) diperintahkan untuk membayar RM4.7 juta kepada 100 orang penduduk Lembah Bertam, Cameron Highlands yang terjejas akibat banjir pada 2013.

Pada 25 Mei 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa TNB selaku pemilik dan pengendali Empangan Sultan Abu Bakar (ESAB) bertanggungjawab kerana cuai sehingga menyebabkan banjir yang mengakibatkan kemusnahan kepada harta penduduk dan kehilangan nyawa.

Bagaimanapun pada ketika itu, Mahkamah tidak menetapkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kerana jumlah tersebut perlu ditaksirkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi terlebih dahulu.

Menurut kenyataan oleh peguam, Manogaran Marimuthu yang mewakili penduduk tersebut, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian pada prosiding yang berjalan di Mahkamah Tinggi Seremban, hari ini.

Manogaran turut dibantu oleh peguam-peguam, Thulsi Manogaran dan Mooresh Kana Murthy.

Menurut kenyataan itu, TNB yang dinamakan sebagai defendan diwakili peguam, Datuk Alvin John.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini, Hakim Ahmad Shahrir menetapkan ganti rugi khas berjumlah RMRM912,459.76 bagi kesemua 100 penduduk selaku plaintif.

Mahkamah turut memerintahkan TNB membayar ganti rugi am sebanyak RM30,000 bagi setiap plaintif dan RM10,000 bagi 83 plaintif (yang terselamat).

Hakim Ahmad Shahrir turut mengenakan faedah sebanyak 5 peratus setahun atas jumlah ganti rugi yang dikira daripada 25 Mei 2018 sehingga penyelesaian penuh dibuat.

Dalam keputusan pada 2018, Hakim Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan bahawa tindakan TNB melepaskan air daripada empangan pada 23 Oktober 2013 bukan satu keputusan tepat kerana empangan terbabit tidak dipasang dengan alat pengukuran aliran air yang berfungsi bagi menentukan aliran dan memutuskan jumlah air yang perlu dilepaskan.

Dengan ketiadaan instrumen itu, Hakim Nordin berkata, tidak boleh dikatakan bahawa tiga pelepasan air pada hari kejadian adalah tepat kerana pihak defendan tidak mempunyai idea jumlah isi padu air yang perlu dilepaskan.

Mahkamah ketika itu menyatakan, defendan (TNB) sebagai pemilik empangan bertanggungjawab untuk mengambil semua langkah sewajarnya untuk mengekalkan paras air di empangan pada tahap yang selamat, terutama pada musim tengkujuh, salah satunya dengan melakukan pengorekan berskala secara teratur tanpa mengira punca.

Pada 11 Disember 2018, TNB gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati syarikat itu cuai sehingga menyebabkan kejadian banjir di Lembah Bertam pada 2013.

Penduduk berkenaan turut diberikan RM50,000 sebagai kos oleh Mahkamah Tinggi dan RM20,000 sebagai kos oleh Mahkamah Rayuan.

Dalam pernyataan writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 2 November 2015, penduduk mendakwa pada 12.20 pagi, 23 Oktober 2013, TNB yang bertanggungjawab ke atas empangan itu, melepaskan air dari takungan Ringlet dan ESAB ke Sungai Bertam, berikutan hujan lebat pada hari sebelumnya, tanpa sebarang amaran.

Plaintif mendakwa pada pukul 1 pagi pada hari yang sama, defendan sekali lagi melepaskan air ke Sungai Bertam yang membanjiri kawasan sekitar hilir Sungai Bertam.

Defendan kemudian didakwa mengulangi tindakan itu pada 2.45 pagi hari yang sama menyebabkan satu kawasan di Lembah Bertam dibanjiri air serta memusnahkan harta benda selain mengakibatkan kehilangan empat nyawa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN