PETALING JAYA: Program Jualan Rahmah Madani akan ditingkatkan kepada 30,000 program pada tahun ini berbanding 25,000 program yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk kawasan desa dan kampung terpilih.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain peningkatan jumlah program itu, beliau juga mahu ia dilakukan sekali pada setiap minggu dengan jadual tetap.
Katanya, Jualan Rahmah Madani yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu telah berhasil mengurangkan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
“Semua kawasan DUN ada (Jualan Rahmah Madani) dan mesti dilakukan sekali pada setiap minggu. Dengan cara ini, pembeli dapat kepastian barangan di mana boleh dibeli dan pada hari dan jadual yang tetap.
“Kita juga tumpukan supaya program Jualan Rahmah Madani ini diadakan bukan sahaja di pinggir bandar, tetapi juga di beberapa kawasan desa dan kampung yang terpilih,” katanya dalam Sidang Media Krisis Bekalan Global, hari ini.
Perdana Menteri berkata, dalam menjayakan program Jualan Rahmah Madani, kerajaan akan memastikan supaya peniaga kecil turut terlibat menyertainya.
“Kita tidak mahu ini menjadi satu gelanggang untuk syarikat-syarikat besar, tetapi untuk memastikan faedah daripada Jualan Rahmah Madani ini memberi kesempatan kepada peniaga-peniaga kecil menjual barangan mereka dengan kadar harga lebih murah,” katanya.
Selain itu, Anwar mengakui bahawa ikhtiar yang diumumkannya tidak menyelesaikan semua masalah dihadapi rakyat, namun percaya ia sedikit sebanyak akan meringankan tekanan dihadapi ketika ini.
“Insya-Allah, dalam acara mingguan kita, dan mesyuarat Jemaah Menteri esoknya, setiap hari Rabu, kita akan terus meneliti dan mencari beberapa ikhtiar baharu untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.-UTUSAN










