Isu teknikal konsert: Penganjur tawar akses awal pembelian tiket - Utusan Malaysia

Isu teknikal konsert: Penganjur tawar akses awal pembelian tiket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjur konsert Rockqueen tampil menebus kekecewaan peminat susulan insiden gangguan teknikal sistem bunyi yang berlaku ketika konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), 14 Februari lalu, dengan menawarkan akses awal pembelian tiket bagi konsert akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Rockqueen, Kapten Azhar Ghazali berkata, pihaknya memberikan keutamaan kepada pembeli tiket terdahulu yang terjejas untuk mendapatkan tiket Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru, tiga hari lebih awal sebelum jualan umum dibuka.

“Kita mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. Sebagai makluman, pembeli tiket konsert di Kuala Lumpur sebelum ini akan diberikan peluang mendapatkan tiket konsert Ella di Stadium Batu Kawan lebih awal.

“Bagi mereka yang terkesan, akses pembelian awal akan dibuka pada 8 Mei ini, termasuk tawaran diskaun bagi kategori tertentu sebagai imbuhan. Jualan tiket kepada orang awam pula akan bermula pada 11 Mei,” katanya.

Azhar berkata demikian pada sidang media Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella Edisi 60 Permata Biru di Odeon, di , hari ini.

Mengulas aspek keselamatan dan teknikal, Azhar memberi jaminan pihaknya akan memperketat pengurusan bagi memastikan kelancaran konsert di Pulau Pinang, Julai ini.

“Kita menambah baik semua proses daripada sudut prosedur kerja, penguatkuasaan serta pemantauan.

“Insya-Allah, segala perancangan akan berjalan lancar dengan mengambil kira pengalaman lalu,” ujarnya.

Sementara itu, Ella melahirkan rasa syukur terhadap inisiatif tersebut dan berharap harga tiket yang ditawarkan serendah RM39 mampu menarik kehadiran pelbagai lapisan peminat, di samping menyumbang kepada badan kebajikan.

“Kita melihat harga tiket yang ditawarkan agak berpatutan, bermula serendah RM39 bagi membolehkan semua peminat hadir.

“Sebagai usaha memberi kembali kepada komuniti, setiap pemegang tiket turut berpeluang menderma apabila RM2 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada badan kebajikan terpilih,” katanya.

Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang dijadual berlangsung pada 25 Julai 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang bakal menjadi simbol kepulangan penyanyi itu ke negeri kelahirannya.

Bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada Julai ini, konsert berkenaan dijangka menjadi detik penuh emosi yang menghubungkan perjalanan seni Ella selama hampir empat dekad dengan tempat asalnya di utara tanah air. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN