KOTA BHARU: Suspek utama kes bunuh seorang remaja perempuan yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, dekat sini dijangka dituduh di mahkamah, Khamis ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis. Setakat ini siasatan kes berkenaan sudah 70 peratus selesai. Sebaik sahaja siap, kita diserahkan kepada pihak pendakwaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pasangan suami isteri warga emas yang ditahan reman bagi membantu siasatan itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, lelaki berusia 66 tahun dan wanita berusia 60 tahun itu adalah ibu bapa kepada salah seorang suspek berusia 19 tahun yang ditahan reman tujuh hari.
Terdahulu, polis menemukan 61 kesan tikaman pada badan seorang gadis yang dipercayai mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Kampung Simah.
Maklumat tersebut hasil pemeriksaan awal yang dilakukan oleh pasukan forensik ke atas badan gadis berkenaan bermula dari bahagian muka sehingga kaki. – UTUSAN










