SEPANG: Isu kemelut kerajaan Negeri Sembilan antara agenda penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya, petang ini.
Perkara itu disahkan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut memberitahu, beberapa mesyuarat akan berlangsung hari ini termasuk mesyuarat politik PH-BN.
“Pada petang ini, kita akan menyebut pelbagai perkara. Kita tak bincang kemelut-kemelut ni.
Ini pertemuan biasa lah. Kami PH-BN memang selalu mengadakan pertemuan.
“Cuma dijadualkan hari ini menarik perhatian sikit sebab latar belakang tentang politik di Negeri Sembilan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja pengoperasian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Katanya, mesyuarat petang ini akan dimulakan dengan mesyuarat Biro Politik PKR dan Majlis Presiden PH yang akan dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saifuddin berkata, selesai dua mesyuarat itu, pihaknya akan mengadakan pertemuan antara pimpinan PH-BN.
“Ini adalah pertemuan biasa dan bukan khusus untuk membincangkan sebarang kemelut politik.
Kenyataan rasmi akan dikeluarkan kemudian melalui saluran media,” katanya.-UTUSAN










