PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersetuju untuk membayar RM200 kepada 240,000 pesawah berdaftar sebagai wang pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan bagi membolehkan penanaman padi musim ini terus beroperasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM48 juta pada minggu ini supaya agihan bantuan itu dapat disegerakan.
“(Dalam) mesyuarat tadi, MTEN bersetuju membayar wang pendahuluan iaitu kadar khas insentif pembajakan kerana mereka (pesawah) terpaksa menyewa mesin bajak, jadi operasi pembajakan itu mesti diteruskan tetapi mereka perlukan modal.
“Oleh itu, kita berpendapat lebih baik diberikan pendahuluan RM200 supaya mereka boleh terus bergerak menjalankan kegiatan penanaman padi,” katanya dalam Sidang Akhbar Krisis Bekalan Global di Putrajaya dekat sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan cakna akan masalah dihadapi kumpulan pesawah terutamanya di Kedah yang menghadapi kemarau panjang daripada kebiasaan, sekali gus mengakibatkan kesukaran kepada mereka.
Katanya, beliau telah mengarahkan operasi pembenihan awan dipertingkat oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu dalam operasi berkenaan.
“Tetapi di kalangan pesawah padi, keluhan itu didengar. Kita telah tambah umpamanya bantuan khas insentif pembajakan pada 14 April lalu seperti diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Bantuan itu ditingkatkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar untuk membantu pesawah padi ekoran kenaikan harga diesel komersial,” katanya.-UTUSAN










