Industri semikonduktor negara catat RM400 bilion

Industri semikonduktor negara catat RM400 bilion

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri semikonduktor Malaysia mencatatkan anggaran hasil RM400 bilion pada 2025, lantas membuktikan sektor itu telah berkembang menjadi antara kekuatan utama negara selepas lebih lima dekad dibangunkan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkembangan itu dipacu peningkatan permintaan terhadap pusat data, pelayan dan peralatan rangkaian berikutan lonjakan trafik data global.

Katanya, permintaan terhadap teknologi semikonduktor dijangka terus meningkat seiring perkembangan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan yang memerlukan keupayaan pemprosesan data lebih tinggi.

“Selain itu, sektor automotif juga dijangka berkembang pesat berikutan kenderaan elektrik (EV) dan teknologi pemanduan autonomi memerlukan penggunaan semikonduktor yang lebih tinggi berbanding kenderaan biasa,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran SEMICON Asia Tenggara 2026 di sini hari ini.

Johari berkata, Malaysia tidak melihat bekalan tenaga atau kekurangan bahan mentah sebagai risiko besar kepada industri semikonduktor pada masa ini.

Beliau berkata, walaupun Malaysia merupakan pengimport bersih minyak, negara masih mempunyai kelebihan daripada segi bekalan gas.

Katanya, negara merupakan pengeksport lebihan gas dan mempunyai rizab yang mencukupi untuk menyokong perkembangan industri semikonduktor.

“Ketika ini, kita melihatnya sebagai sesuatu yang tidak perlu dibimbangi,” katanya.

Johari berkata, lebihan bekalan gas berpotensi dimanfaatkan dengan lebih baik bagi menyokong pembangunan industri domestik termasuk sektor yang menggunakan tenaga tinggi.

Mengulas mengenai risiko kekurangan bahan mentah seperti helium yang digunakan dalam pengeluaran semikonduktor, beliau berkata, keadaan itu masih terkawal buat masa ini, namun bergantung kepada perkembangan global.

“Masalah ini hanya melibatkan pihak yang mendapatkan bekalan dari Asia Barat. Selagi perang masih berlaku, kekurangan bekalan mungkin boleh berlaku,” katanya.

Walaupun berdepan ketidaktentuan global, Johari berkata, sentimen pelabur terhadap sektor semikonduktor negara kekal memberangsangkan.

“Pada pandangan saya, kita perlu terus berhubung dengan pelabur. Setakat ini, semua pemain industri masih bersemangat untuk meneruskan perancangan mereka,” katanya.

Beliau berkata, sektor semikonduktor kekal sebagai tonggak utama dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) yang merekodkan eksport kira-kira RM711 bilion pada 2025.

Katanya, daripada jumlah itu, eksport semikonduktor menyumbang kira-kira RM465 bilion, sekali gus menunjukkan kepentingan sektor berkenaan kepada ekonomi negara.

“Menjelang 2030, pasaran semikonduktor global dijangka mencecah kira-kira AS$1 trilion. Jadi, ini merupakan peluang besar kepada Malaysia pada masa depan.

“Malaysia perlu memperkukuh ekosistem semikonduktor bagi merebut peluang pertumbuhan akan datang dan kekal berdaya saing dalam landskap global yang semakin berubah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN